PENGENALAN

Bersempena dengan Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almahrum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah yang disambut pada Jumaat Minggu Pertama bulan November setiap tahun. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan telah berkenan menganugerahkan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Negeri Perak Darul Ridzuan. Penganugerahan ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Perak kepada mereka yang telah banyak menabur jasa-jasa serta menyumbangkan khidmat bakti kepada Negeri Perak Darul Ridzuan khasnya dan negara amnya.

Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Negeri Perak Darul Ridzuan biasanya dianugerahkan kepada mereka yang berbakti dan memberi perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perak Darul Ridzuan khasnya dan Negara amnya, bersesuaian dengan taraf kedudukan mereka.

(rujuk pada bahagian kategori untuk melihat darjah serta pingat)

KUASA-KUASA MENGURNIAKAN PENGANUGERAHAN

Di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, bahagian kedua bab X(a) Tercatit kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan mempunyai milik pancuran kemuliaan (Fountain of Honours) budibicara (prerogatives) yang mutlak.

Bab XXV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan Bahagian Kedua seterusnya menerangkan:

Maka Raja Pemerintah itu ialah pancuran semua kemuliaan-kemulian dan darjat-darjat dalam negeri ini dan Bagindalah seorang sahaja yang boleh mengurniakan gelaran-gelaran dan darjat-darjat dan mengadakan pangkat-pangkat dan pingat-pingat kemuliaan dan darjat, samada gelaran-gelaran,darjat-darjat,pangkat-pangkat atau pingat-pingat itu telah sedia ada atau tiada terlebih dahulu di kurniakan atau diadakan.

Tetapi hendaklah di isyaratkan sebelum mana-mana gelaran, darjat, pangkat atau pingat baharu dilembagakan atau apa-apa lantikan kepada gelaran atau darjat yang sedemikian itu diperbuat, patutlah diminta nasihat Dewan Negara itu dan jikalau sekiranya perlembagaan bagi mana-mana gelaran, darjat, pangkat atau pingat mengenai perbelanjaan daripada hasil negeri, maka hendaklah perbelanjaan yang sedemikian itu di persetujui oleh Dewan Perhimpunan Undangan.

Hak Cipta © Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan www.perak.gov.my