KATEGORI: DARJAH KEBESARAN NEGERI PERAK

Berikut merupakan senarai terkini Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan mengikut susunan kumpulan darjah kebesaran. Susunan keutamaan bagi Anugerah-Anugerah Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang Kehormatan dan Pingat-Pingat tersebut telah diluluskan oleh Dewan Negara Perak seperti berikut (Sila klik pada gambar untuk keterangan lanjut):

Darjah Kerabat Yang Amat DiHormati (D.K.)

Kurniaan dikhaskan kepada Raja Pemerintah, Raja Permaisuri dan Raja Pemerintah dan Raja Permaisuri Negeri-Negeri lain serta Bakal Sultan Negeri Perak.

Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah (D.K.S.A.)

Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Yang Dihormati (D.K.S.A.) merupakan satu darjah kebesaran yang dikurniakan khas kepada ahli-ahli kerabat Diraja Negeri Perak di masa pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Darjah Kerabat Azlanii (D.K.A)

Darjah kebesaran ini eksklusif hanya dikurniakan kepada penerima-penerima yang mempunyai hubungan rapat dan banyak berjasa kepada Almarhum Sultan Azlan Shah. Darjah Azlanii tidak dikurniakan kepada kerabat Diraja negeri lain, hanya dikurniakan kepada kerabat Negeri Perak sahaja.

Darjah Kerabat Azlanii II (D.K.A II)

Darjah Kerabat Azlanii pangkat kedua atau D.K.A. II dizahirkan pada tahun 2010. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada DYAM Raja DiHilir Perak, DYAM Raja Puan Muda Perak, YTM Raja-Raja Bergelar, YTM Anakanda-anakanda Almarhum Sultan Azlan dan kerabat-kerabat Diraja Negeri Perak yang terdekat.

Darjah Paduka Sultan Azlan Shah (S.P.S.A.)

Darjah kebesaran yang bergelar "Dato' Seri Diraja" dikurniakan sebagai suatu penghormatan yang amat istimewa, mempunyai kedudukan yang amat berpengaruh dan bertanggungjawab.

Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (S.P.S.N.)

Penerima Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (S.P.S.N.) akan membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.)

Darjah Kebesaran yang bergelar "Dato' Seri" peringkat pertama dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa menandakan rekod kejayaan besar yang telah dicapai dan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri ini.

DARJAH DATO’ SERI PADUKA MAHKOTA PERAK (S.P.M.P.)

Darjah Kebesaran yang bergelar "Dato' Seri" peringkat kedua, Kelayakan bagi kurniaan darjah S.P.M.P. ini sama dengan kelayakan S.P.C.M. tetapi taraf darjah ini adalah lebih rendah daripada Seri Paduka Cura Si Manja Kini.

DARJAH DATO’ SERI PANGLIMA TAMING SARI (S.P.T.S.)

Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Leftenan Jeneral ke atas dan kepada anggota-anggota pasukan polis yang berpangkat Timbalan Ketua Polis Negara ke atas.

DARJAH DATO’ PADUKA CURA SI MANJA KINI (D.P.C.M.)

Peringkat Kedua Darjah Kebesaran Cura Si Manja Kini dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan telah mencapai sekurang-kurangnya Gred 1.

DARJAH DATO’ PADUKA MAHKOTA PERAK (D.P.M.P.)

Peringkat Kedua Darjah Kebesaran Mahkota Perak. Syarat-syarat penerimaannya sama dengan kelayakan D.P.C.M.

DARJAH DATO’ PAHLAWAN TAMING SARI (D.P.T.S.)

Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Brigedier Jeneral hingga Mejar Jeneral dan kepada anggota-anggota pasukan polis yang berpangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya hingga Timbalan Pesuruhjaya.

DARJAH AHLI PADUKA CURA SI MANJA KINI (P.C.M.)

Dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang menyandang pangkat tidak rendah dari gred 2 atau setaraf dengannya; dan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera dan Polis yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (Tentera Laut), Kolonel Udara (Tentera Udara), Penolong Pesuruhjaya (Pasukan Polis) dan ke atas. Kurniaan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (P.C.M.) diberi kepada mereka yang berkelayakan lebih mutunya daripada Darjah Paduka Mahkota Perak.

DARJAH AHLI PERWIRA TAMING SARI *

Diberhentikan penganugerahan mulai tahun 1989 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah. Walaubagaimanapun pemegang-pemegang darjah-darjah tersebut sebelum tarikh ini akan terus menikmati keistimewaan sebagaimana termaktub di dalam Undang-Undang Darjah Kebesaran Negeri Perak.

DARJAH AHLI PADUKA MAHKOTA PERAK (P.M.P.)

Dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang menyandang pangkat tidak rendah dari Gred 2 atau setaraf dengannya. Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera dan Polis yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (Tentera Laut), Kolonel Udara (Tentera Udara), Penolong Pesuruhjaya (Pasukan Polis) dan ke atas.

DARJAH AHLI CURA SIMANJA KINI (A.C.M.)

Peringkat Ke-4 darjah Kebesaran Cura Si Manja Kini dan dikurniakan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri dan kepada pegawai-pegawai Kerajaan sekurang-kurangnya dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 3.

DARJAH AHLI MAHKOTA PERAK (A.M.P.)

Peringkat Ke-4 Darjah Kebesaran Mahkota Perak dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan sekurang-kurangnya dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional gred 3 yang berkebolehan istimewa dan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri. Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera dan Polis yang berpangkat Kapten dan Mejar (Tentera Darat), Leftenan dan Leftenan Komander (Tentera Laut), Kapten Udara dan Mejar Udara (Tentera Udara), Penolong Penguasa dan Timbalan Penguasa (Pasukan Polis).

DARJAH AHLI HULUBALANG TAMING SARI (H.T.S.)*

Diberhentikan penganugerahaan mulai tahun 1989 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah. Walaubagaimanapun pemegang-pemegang darjah-darjah tersebut sebelum tarikh ini akan terus menikmati keistimewaan sebagaimana termaktub di dalam Undang-Undang Darjah Kebesaran Negeri Perak.

DARJAH AHLI KESATRIA TAMING SARI (K.T.S.)*

Diberhentikan penganugerahaan mulai tahun 1989 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah. Walaubagaimanapun pemegang-pemegang darjah-darjah tersebut sebelum tarikh ini akan terus menikmati keistimewaan sebagaimana termaktub di dalam Undang-Undang Darjah Kebesaran Negeri Perak.

DARJAH AHLI PERAJURIT TAMING SARI (A.T.S.)*

Diberhentikan penganugerahaan mulai tahun 1989 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah. Walaubagaimanapun pemegang-pemegang darjah-darjah tersebut sebelum tarikh ini akan terus menikmati keistimewaan sebagaimana termaktub di dalam Undang-Undang Darjah Kebesaran Negeri Perak.

PINGAT KEBERANIAN HANDAL (P.K.H.)

Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah berbuat dalam Negeri Perak, sesuatu keberanian yang tersangat handal dan keberanian itu dilakukan dalam keadaan yang mendatangkan bahaya yang besar kepada dirinya sendiri.

PINGAT PEKERTI TERPILIH (P.P.T)

Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah melakukan dalam Negeri Perak, satu perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang bersifat kelakuan yang cemerlang dan berani. Dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan dalam Kumpulan Sokongan ke atas dan dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera dan Polis yang berpangkat sekurang-kurangnya Leftenan Muda (Tentera Darat, Laut dan Udara) dan Inspektor di dalam Pasukan Polis.

PINGAT JASA KEBAKTIAN (P.J.K.)

Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah berbuat jasa yang cemerlang kepada Negeri dan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera dan Polis yang berpangkat Pegawai Waren (Tentera Darat, Laut dan Udara), Sub Inspektor (Pasukan Polis) dan ke bawah.

PINGAT LAMA PERKHIDMATAN (P.L.P.)

Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan lama dan taat setia kepada Negeri Perak tidak kurang daripada 25 tahun dan perkhidmatan itu menunjukkan kebolehan yang memberi teladan yang baik serta kecekapan dan taat setia.

Hak Cipta © Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan www.perak.gov.my