Untitled Document
Untitled Document
Untitled Document
   

GARIS PANDUAN PENCALONAN

Klik sini untuk paparan dalam bentuk pdf

  • Pencalonan secara atas talian dibuka pada setiap tahun mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Pentabiran Kerajaan Negeri Perak. Makluman mengenai pencalonan akan dimaklumkan kepada Jabatan/Agensi Kerajaan, Swasta atau Pertubuhan/Persatuan melalui surat rasmi dan makluman melalui Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak di alamat http://www.perak.gov.my/

  • Pencalonan penganugerahan Darjah/Bintang dan Pingat Negeri Perak mestilah melalui organisasi sama ada Jabatan/Agensi Kerajaan, Swasta atau Pertubuhan/Persatuan.

  • Pencalon hendaklah mengisi borang pencalonan secara atas talian dengan menggunakan Id pengguna dan kata laluan yang diedarkan melalui surat rasmi kepada Jabatan/Agensi Kerajaan, Swasta atau Pertubuhan/Persatuan.

  • Pencalon perlu mencetak borang dari sistem untuk tujuan ulasan dan sokongan seperti berikut;

    Pencalonan daripada pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, sosial, agama, swasta dan sebagainya yang berada dalam Negeri Perak;

             Hendaklah mendapatkan ulasan dan tandatangan Pegawai Daerah dan Orang Besar Jajahan yang berkenaan sebagai sokongan.

    Pencalonan daripada pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, sosial, agama, swasta dan sebagainya yang berada di luar Negeri Perak;

            

    Hendaklah mendapatkan ulasan dan tandatangan Pegawai Daerah/ Datuk Bandar/ Yang Dipertua Majlis Perbandaran/ Yang Dipertua Majlis Daerah/ Setiausaha Dewan Bandaraya/ Setiausaha Majlis Perbandaran/ Setiausaha Majlis Daerah atau Orang Besar Jajahan di mana calon berkhidmat sebagai sokongan dan seterusnya hendaklah mendapatkan juga ulasan dan tandatangan Pegawai Daerah dan Orang Besar Jajahan di Negeri Perak.

  • Pencalonan pegawai-pegawai kerajaan yang bergiat cergas di dalam pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, agama dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Ketua Jabatan atau Ketua Pejabat di mana calon-calon itu berkhidmat

  • Maklumat dan garis panduan terperinci (bagi pencalonan terkini) adalah seperti berikut;

GARIS PANDUAN PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN DAN PINGAT-PINGAT SERTA TAULIAH JAKSA PENDAMAI YANG DIANUGERAHKAN DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

PENDAHULUAN

Bersempena dengan Hari Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang disambut pada setiap Hari Jumaat minggu pertama November setiap tahun, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan telah berkenan menganugerahkan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak Darul Ridzuan. Penganugerahan ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Perak kepada mereka yang telah banyak menabur jasa-jasa serta menyumbangkan khidmat bakti kepada Negeri Perak Darul Ridzuan khasnya dan negara amnya.

SUSUNAN KUMPULAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT

  1. DARJAH KERABAT DIRAJA YANG AMAT DIHORMATI
  2. Darjah Kerabat (D.K.)

  3. DARJAH KERABAT SERI PADUKA SULTAN NAZRIN SHAH PERAK YANG AMAT DIHORMATI
  4. Darjah Kerabat Sultan Nazrin (D.K.S.N)

  5. Darjah Kebesaran SERI PADUKA SULTAN NAZRIN SHAH PERAK YANG AMAT MULIA
  6. Dato' Seri Paduka Sultan Nazrin (S.P.S.N) (Dato' Seri Diraja/Isteri : Datin Seri Diraja)

  7. Darjah Yang Amat Mulia PADUKA CURA SI MANJA KINI
  8. Pangkat Pertama … Seri Paduka Cura Simanja Kini (S.P.C.M.)

    Pangkat Kedua … Dato' Paduka Cura Simanja Kini (D.P.C.M.)

    Pangkat Ketiga … Paduka Cura Simanja Kini (P.C.M.)

    Pangkat Keempat … Ahli Cura Simanja Kini (A.C.M.)

  9. Darjah Yang Amat Mulia PADUKA MAHKOTA PERAK
  10. Pangkat Pertama … Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.)

    Pangkat Kedua … Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.)

    Pangkat Ketiga … Paduka Mahkota Perak (P.M.P.)

    Pangkat Keempat … Ahli Mahkota Perak (A.M.P.)

  11. Darjah Yang Amat Mulia PANGLIMA TAMING SARI
  12. Pangkat Pertama … Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.)

    Pangkat Kedua … Dato' Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S.)

  13. Pingat Pekerti Terpilih/Jasa Kebaktian/Lama Perkhidmatan
  14. i) Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.)

    ii) Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.)

    iii) Pingat Lama Perkhidmatan (P.L.P.)

  15. Tauliah Lantikan Jaksa Pendamai (J.P.)

JENIS DARJAH KEBESARAN,BINTANG DAN PINGAT

Darjah Seri Paduka Cura Simanja Kini (S.P.C.M.)

  • Darjah Kebesaran ini membawa gelaran Dato' Seri pangkat pertama dan dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa di atas rekod kejayaan cemerlang yang telah dicapai;
  • Dikurniakan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang kepada Negeri Perak semenjak beberapa lama dengan mempunyai kedudukan yang amat berpengaruh;
  • Bagi pegawai-pegawai kerajaan yang telahpun dikurniakan D.P.C.M., mereka lazimnya yang berpangkat Tingkatan Tertinggi "C" dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penganugerahan darjah ini pada lazimnya merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan D.P.C.M.

Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.)

  • Darjah Kebesaran ini membawa gelaran Dato' Seri pangkat kedua dan dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa di atas rekod kejayaan besar yang telah dicapai.
  • Syarat-syarat kelayakan bagi kurniaan Darjah ini adalah sama dengan kelayakan S.P.C.M. tetapi tarafnya adalah lebih rendah daripada Seri Paduka Cura Simanja Kini (S.P.C.M.);
  • Dikurniakan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatannya yang cemerlang kepada Negeri Perak semenjak beberapa lama dan mempunyai kedudukan yang amat berpengaruh;
  • Bagi pegawai-pegawai kerajaan yang telahpun dikurniakan D.P.M.P. maka mereka adalah terdiri daripada Tingkatan Tertinggi "C" dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penerima Darjah ini pada lazimnya merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan D.P.M.P.

Darjah Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.)

  • Darjah Kebesaran ini membawa gelaran Dato' Seri Panglima pangkat pertama dan dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa di atas rekod kejayaan besar yang telah dicapai. Darjah Kebesaran ini dikhaskan kepada anggota Tentera dan Polis atau yang bersesuaian dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Fil Mashal/Jeneral/Leftenan Jeneral (Tentera Darat), Laksamana Armada/Laksamana/Laksamana Madya (LKSDYA) (Tentera Laut) dan Masyal Tentera Udara/Jeneral TUDM/Leftenan Jeneral Udara (Tentera Udara) atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan Polis yang berpangkat Inspektor Jeneral Polis (IGP)/ Deputi Inspektor Jeneral (DIG) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penerima darjah ini pada lazimnya merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan D.P.T.S.

Darjah Dato' Paduka Cura Simanja Kini (D.P.C.M.)

  • Darjah Kebesaran ini membawa gelaran Dato' pangkat pertama dan dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa di atas rekod kejayaan besar yang telah dicapai.
  • Dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan tinggi yang terkenal kerana perkhidmatan cemerlangnya kepada Negeri Perak. Mereka mestilah mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang-bidang tertentu untuk Negeri Perak;
  • Dikurniakan kepada kakitangan awam di dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penganugerahan Darjah ini pada lazimnya merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan P.C.M.

Darjah Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.)

  • Darjah Kebesaran ini membawa gelaran Dato' pangkat kedua dan dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa di atas rekod kejayaan besar yang telah dicapai;
  • Syarat-syarat kelayakan bagi kurniaan Darjah D.P.M.P. adalah sama dengan kelayakan Dato' Paduka Cura Simanja Kini tetapi adalah lebih rendah daripada D.P.C.M.;
  • Dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan tinggi yang terkenal kerana perkhidmatan cemerlangnya kepada Negeri Perak dalam apa-apa jua lapangan kehidupan. Mereka mestilah mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang-bidang tertentu untuk Negeri Perak;
  • Dikurniakan kepada kakitangan awam di dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang telah mencapai sekurang- kurangnya Gred 54 ke atas atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penganugerahan Darjah ini pada lazimnya adalah merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan P.M.P.

Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S.)

  • Darjah Kebesaran ini membawa gelaran Dato' Pahlawan pangkat pertama dan dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa di atas rekod kejayaan besar yang telah dicapai. Darjah Kebesaran ini dikhaskan kepada anggota Tentera dan Polis atau yang bersesuaian dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Mejar Jeneral/Brigedier Jeneral (Tentera Darat), Laksamana Muda (LKSDA)/Laksamana Pertama (Tentera Laut) dan Mejar Jeneral TUDM/Brigidier TUDM (Tentera Udara) dan yang setaraf dengannya; dan
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan polis yang berpangkat Komisioner Polis (CP)/Deputi Komisioner Polis (DCP) dan Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) atau yang setaraf dengannya.

Darjah Paduka Cura Simanja Kini (P.C.M.)

  • Darjah ini adalah peringkat ketiga daripada kumpulan Darjah Yang Amat Mulia Paduka Cura Simanja Kini. Ianya dikurniakan kepada mereka yang telah banyak berbuat jasa kepada Negeri Perak dan telah menjalankan tugas yang amat sukar dengan jayanya;
  • Dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang menyandang pangkat Gred 52 atau yang setaraf dengannya;
  • Darjah Paduka Cura Simanja Kini (P.C.M.) ini dikurniakan kepada mereka yang berkelayakan lebih mutunya daripada Darjah Paduka Mahkota Perak (P.M.P.) di dalam satu-satu bidang;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (Tentera Laut), Kolonel TUDM (Tentera Udara) atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Polis yang berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penganugerahan Darjah ini pada lazimnya adalah merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan A.C.M.

Darjah Paduka Mahkota Perak (P.M.P.)

  • Darjah ini adalah peringkat ketiga daripada kumpulan Darjah Yang Amat Mulia Paduka Mahkota Perak. Dikurniakan kepada mereka yang telah banyak berbuat jasa kepada Negeri Perak dan telah menjalankan tugas yang amat sukar dengan jayanya;
  • Dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang menyandang Gred 52 atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (Tentera Laut), Kolonel TUDM (Tentera Udara) atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Polis yang berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Penganugerahan Darjah ini pada lazimnya adalah merupakan kenaikan pangkat kepada penerima yang telahpun dikurniakan A.M.P.

Darjah Ahli Cura Simanja Kini (A.C.M.)

  • Darjah ini adalah peringkat keempat daripada kumpulan Darjah Yang Amat Mulia Paduka Cura Simanja Kini. Dikurniakan kepada mereka yang telah banyak memberikan jasa kepada Negeri Perak;
  • Dikurniakan kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang atau berbuat jasa kepada Negeri Perak;
  • Dikurniakan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan sekurang- kurangnya Gred 48 dan ke atas dalam Sistem Saraan Malaysia yang berkebolehan istimewa (exceptional merit) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera yang berpangkat Leftenan Kolonel (Tentera Darat), Komander TLDM (Tentera Laut), Leftenan Kolonel TUDM (Tentera Udara) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Polis yang berpangkat Superintenden Polis (SUPT) atau yang setaraf dengannya;

Darjah Ahli Mahkota Perak (A.M.P.)

  • Darjah ini adalah peringkat keempat daripada kumpulan Darjah Yang Amat Mulia Paduka Mahkota Perak. Dikurniakan kepada sesiapa jua yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang atau berbuat jasa kepada Negeri Perak.
  • Dikurniakan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan sekurang- kurangnya Gred 41 dan ke atas dalam Sistem Saraan Malaysia yang berkebolehan istimewa (exceptional merit) atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera yang berpangkat Mejar/Kapten/Leftenan/Leftenan Muda (Tentera Darat), Leftenan Komander/Leftenan Madya/Leftenan Muda (Tentera Laut), Mejar TUDM/Kapten TUDM/Leftenan TUDM/Leftenan Muda (TUDM) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Dikurniakan kepada anggota Pasukan Polis yang berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP)/Asisten Superintenden Polis (ASP) atau yang setaraf dengannya.

Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.)

  • Dikurniakan kepada sesiapa jua yang telah melakukan sesuatu perbuatan yang bersifat cemerlang dan berani dalam Negeri Perak;
  • Dikurniakan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan dalam Gred 22 dan ke atas dalam Sistem Saraan Malaysia atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera yang berpangkat Pegawai Waran I dan II (Tentera Darat), Kadet Kanan/Kadet/Pegawai Waran I dan II (Tentera Laut) dan Pegawai Waran Udara I dan II (Tentera Udara) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Polis yang berpangkat Ketua Inspektor (C/Insp.)/Inspektor (Insp) dan Sub-Inspektor(Sub-Insp.) atau yang setaraf dengannya.

Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.)

  • Dikurniakan kepada sesiapa jua yang telah berbuat jasa yang cemerlang kepada Negeri Perak selain daripada keberanian handal dan setia dalam menjalankan kewajipan, termasuk perkhidmatan yang lama dengan menunjukkan kebolehan yang luar biasa dan kelakuan yang boleh memberi contoh teladan;
  • Dikurniakan kepada Pegawai-Pegawai Kerajan dalam Gred 19 dan ke atas dalam Sistem Saraan Malaysia atau yang setaraf dengannya;
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Tentera yang berpangkat Staf Sarjan/Sarjan/Koperal/Lans Koperal/Prebet (Tentera Darat), Bentara Kanan/Bentara Muda/Laskar Kanan/Laskar Kelas Satu/Laskar Kelas Dua/Laskar Muda (Tentera Laut), Flait Sarjan/Sarjan Udara/Koperal Udara/Laskal Udara Kanan/Laskal Udara Satu/Laskal Udara Dua (Tentera Udara) atau yang setaraf dengannya; dan
  • Dikurniakan kepada anggota-anggota Pasukan Polis yang berpangkat Sarjan Mejar (SM)/Sarjan (Sjn)/Koperal (KPL)/Lans Koperal (L/Kpl) atau yang setaraf dengannya.

Pingat Lama Perkhidmatan (P.L.P.)

  • Dikurniakan kepada sesiapa jua yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dan taat setia kepada Negeri Perak. Berkhidmat tidak kurang daripada 25 tahun dan berkebolehan memberi teladan yang baik dan hanya penjawat awam sahaja.

Tauliah Lantikan Jaksa Pendamai (J.P.)

  • Mereka yang dipilih untuk ditauliahkan JAKSA PENDAMAI ini hendaklah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak samada dari segi pendidikan, ilmiah dan berkelakuan baik yang boleh memberi contoh teladan.
  • Pegawai-pegawai Kerajaan tidak layak dipertimbangkan.

PENCALONAN

Pencalonan secara on-line bagi Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak akan dimaklumkan kepada :-

  • i) Ketua Jabatan Negeri / Persekutuan (dalam Negeri Perak)
  • ii) Agensi-agensi Kerajaan / Badan Berkanun
  • iii) Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan
  • iv) Ketua Setiausaha Kementerian
  • v) Persatuan / Pertubuhan Badan Sukarela
  • vi) Orang Besar Jajahan Negeri Perak
  • vii) Pusat-Pusat Pengajian Tinggi

Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan hendaklah mendapatkan pencalonan daripada semua peringkat kakitangan dan tidak terhad kepada sesuatu bahagian atau jenis jawatan sahaja. Setiap pencalonan hendaklah dibuat kepada mereka yang difikirkan layak dan sesuai sahaja.

SALURAN PENCALONAN

Pencalonan bagi Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak adalah melalui 2 saluran yang menggunakan borang dan 1 saluran dibuat secara on-line.

Saluran Pencalonan Menggunakan Borang:

  • Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan; dan
  • Pejabat YAB Menteri Besar Perak (Untuk Ahli-Ahli Politik).

Saluran Pencalonan Secara On-line

  • Pejabat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak [Pegawai-Pegawai Negeri / Badan Berkanun dalam Perkhidmatan Negeri Perak / Pegawai-Pegawai Persekutuan / Polis / Tentera / Badan-Badan Berkanun Persekutuan yang berkhidmat dalam Negeri Perak termasuk Anak-Anak Perak yang bertugas di Luar Negeri Perak serta Ahli-Ahli Pertubuhan / Persatuan / Kebajikan / Sukarela / Sukan / Sosial / Agama / Swasta / Orang Awam]

ASAS-ASAS PENCALONAN

  • Seseorang calon yang dicadangkan untuk sesuatu Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak hendaklah terdiri daripada mereka yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada Negeri Perak khasnya dan negara amnya.
  • Pencalonan di kalangan anggota pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, sosial, agama, swasta dan lain-lain hendaklah berasaskan kepada sumbangan masing-masing kepada negara dan masyarakat. Keutamaan hendaklah diberikan kepada mereka yang memberi sumbangan yang cemerlang di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
  • Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat yang dicadangkan hendaklah bersesuaian dengan jawatan dan gred jawatan sebagaimana yang diterangkan dalam Garis Panduan.
  • Seseorang calon yang dicadangkan, mestilah mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih dan cemerlang. Tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diperlukan. Ini adalah kerana urusan tersebut akan dibuat oleh pihak Urus Setia setelah pemilihan calon-calon selesai.
  • Seseorang yang telah menerima sesuatu kurniaan Negeri Perak boleh dicalonkan semula selepas tiga (3) tahun kurniaan terdahulu.
  • Seseorang yang pernah menolak tawaran tidak perlu dicalonkan semula.
  • Keutamaan hendaklah diberi kepada calon-calon yang berumur lebih daripada 40 tahun melainkan jika calon-calon itu terdiri daripada ahli-ahli sukan.

PERATURAN MENGISI BORANG PENCALONAN SECARA ONLINE

  • Tiap-tiap pencalonan bagi Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat selain daripada pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan pejabat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan hendaklah dibuat secara on-line melalui capaian laman web negeri Perak,http://pingat.perak.gov.my
  • Setiap pencalonan adalah dikategorikan seperti berikut :-

    i) Kategori 'A' - Untuk Pegawai-Pegawai Negeri / Badan Berkanun dalam perkhidmatan Negeri Perak.

    ii) Kategori 'B' - Untuk Pegawai-Pegawai Persekutuan / Badan-Badan Berkanun Persekutuan / Polis / Tentera dalam Negeri Perak termasuk Anak-Anak Perak Yang Bertugas di Luar Negeri Perak.

    iii) Kategori 'C' - Untuk Ahli-Ahli Pertubuhan / Persatuan / Kebajikan / Sukarela / Sukan / Sosial / agama / Swasta dan Orang Awam.

  • Borang pencalonan on-line hendaklah diisi oleh pencalon dan bukan calon itu sendiri. Pencalon hendaklah memastikan bahawa calon berkenaan belum lagi dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang atau Pingat yang dicadangkan supaya tidak berlaku pertindihan penganugerahan. Sekiranya berlaku pertindihan, pihak urus setia berhak untuk membatal atau membuat sebarang keputusan bagi penganugerahan tersebut.
  • Segala maklumat yang terdapat di dalam borang pencalonan hendaklah diisi dengan jelas, tepat dan lengkap.
  • Semua pencalonan daripada agensi-agensi di bawah kawalan Kementerian hendaklah diselaraskan di peringkat Kementerian masing-masing sebelum dikemukakan kepada urus setia.
  • Pencalonan bagi Darjah Kebesaran Seri Paduka Cura Simanja Kini (S.P.C.M.), Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.), Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.), Dato’ Paduka Cura Simanja Kini (D.P.C.M.), Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.), Dato’ Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S.) hendaklah mendapat sokongan YB. Menteri atau YB. Timbalan Menteri atau YAB. Menteri Besar atau YAB. Ketua Menteri.
  • Pencalonan di kalangan Pegawai Kerajaan di peringkat Persekutuan bagi Darjah Kebesaran Paduka Cura Simanja Kini (P.C.M.), Paduka Mahkota Perak (P.M.P.), Ahli Cura Simanja Kini (A.C.M.), Ahli Mahkota Perak (A.M.P.) hendaklah mendapat sokongan atau tandatangan Ketua Setiausaha Kementerian atau Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian.
  • Pencalonan di kalangan Pegawai Kerajaan di peringkat Persekutuan bagi Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.), Pingat Lama Perkhidmatan (P.L.P.) memadai dengan mendapatkan sokongan/tandatangan Ketua Jabatan atau Ketua Bahagian atau yang setaraf dengannya.
  • i) Pencalonan daripada pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, sosial, agama, swasta dan sebagainya yang berada dalam Negeri Perak:

    Hendaklah mendapatkan ulasan dan tandatangan Pegawai Daerah dan Orang Besar Jajahan yang berkenaan sebagai sokongan.

    ii) Pencalonan daripada pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, sosial, agama, swasta dan sebagainya yang berada di luar Negeri Perak:

    Hendaklah mendapatkan ulasan dan tandatangan Pegawai Daerah/ Datuk Bandar/ Yang DiPertua Majlis Perbandaran/ Yang DiPertua Majlis Daerah/ Setiausaha Dewan Bandaraya/ Setiausaha Majlis Perbandaran/ Setiausaha Majlis Daerah atau Orang Besar Jajahan di mana calon berkhidmat sebagai sokongan dan seterusnya hendaklah mendapatkan juga ulasan dan tandatangan Pegawai Daerah dan Orang Besar Jajahan di Negeri Perak.

  • Pencalonan pegawai-pegawai kerajaan yang bergiat cergas di dalam pertubuhan, persatuan, kebajikan, sukarela, sukan, agama dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Ketua Jabatan atau Ketua Pejabat di mana calon-calon itu berkhidmat.
Untitled Document

Hak Cipta © Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan www.perak.gov.my